Thursday, October 21, 2010

Kesihatan Gigi Perlu Di jaga Bagi Wanita Hamil

info dari majalah Pa & Ma

Sebelum hamil

Kata orang-orang tua, setiap kali mengandung, ibu akan hilang sebatang giginya. Kenyataan ini sama sekali tidak berasas. Jika ibu hamil mengamalkan penjagaan gigi yang baik, sudah tentu isu gigi hilang dapat dihindari. Oleh kerana itulah, mana-mana wanita yang mengalami masalah gigi sewaktu hamil perlu tahu ia berlaku akibat kesalahan diri sendiri. Sebenarnya masalah berkaitan gigi sewaktu hamil berlaku kesan pengabaian penjagaan gigi sebelum hamil lagi.

Puncanya sebelum hamil

Sekiranya sebelum hamil anda tidak menitikberatkan penjagaan kesihatan gigi, masalah gigi yang sedia ada akan jadi lebih teruk setelah hamil. Ini kerana kestabilan hormon dalam badan berubah sewaktu hamil. Perubahan yang berlaku menyebabkan gusi sangat sensitif terhadap karang gigi yang sememangnya sedia wujud.

Setelah hamil, tindak balas antara hormon dan karang gigi menyebabkan gusi bengkak. Ramai ibu hamil yang mengalami masalah sebegini menyalahkan hormon sebagai penyebabnya. Namun, hakikatnya karang gigi adalah penyebab utama gusi menjadi bengkak.

Jadi, apa-apa sahaja masalah yang berlaku pada gigi sewaktu hamil berpunca daripada karang gigi dan tabiat buruk sebelum hamil. Jika keadaan gigi sebelum hamil bersih dan tiada karang gigi, perubahan hormon tidak berupaya menyebabkan gusi menjadi bengkak. Untuk itu, anda digalakkan melakukan pemeriksaan gigi yang kerap bagi mengekalkan keadaan gusi sihat yang optimum.

Pregnancy tumor
Masalah ini selalu terjadi pada kawasan yang ada banyak karang gigi. Kawasan yang terlibat boleh membengkak sehingga membentuk tumor. Sekiranya masalah ini terjadi, dapatkan rawatan doktor segera.

Dalam sesetengah keadaan, bengkak yang dialami akan surut selepas dicuci. Namun, ada juga yang perlu menjalani pembedahan. Cucian sahaja tidak mencukupi sehingga bahagian terlibat terpaksa dipotong.

Apabila hormon kembali stabil, masalah ini akan hilang. Namun, ia tetap perlu diberi rawatan kerana anda mungkin tidak selesa berhadapan dengan masalah ini terutamanya apabila makanan ataupun berus gigi tersentuh bahagian berkenaan, kawasan tersebut akan berdarah.

Kesan pada kandungan
Salah satu masalah kesihatan gigi yang boleh meninggalkan kesan kepada kandungan ialah periodontitis. Masalah ini terjadi apabila kesemua struktur sokongan gigi bengkak sehingga bernanah.

Apabila berlaku jangkitan, ada kajian membuktikan bahawa badan akan membentuk prostaglandin iaitu sejenis asid amino. Jika terlalu banyak prostaglandin terhasil, ia akan menyebabkan otot mengecut. Ini sekali gus boleh menyebabkan anda mengalami kontraksi awal sehingga boleh melahirkan anak pra matang. Selain itu, ia juga boleh meningkatkan risiko kelahiran bayi kurang berat badan.

Kajian berkenaan juga menunjukkan ramai ibu yang menghidap periodontitis mengalami pre eklampsia. Jika ini berlaku, anda mungkin ditahan di hospital dan perlu dipantau setiap masa. Ini bagi mengelakkan kes bayi lahir pra matang.


Semua rawatan boleh
Ketahuilah, semua rawatan pergigian boleh dilakukan ketika anda hamil. Tidak kiralah sama ada ia tampalan, cabutan, cucian, scaling, polishing ataupun rawatan akar. Namun, rawatan yang perlu memakan masa yang lama seperti bridge, crown dan pembedahan tidak begitu digalakkan. Ini kerana anda perlu berbaring lama sehingga menimbulkan ketidakselesaan.

Ada sesetengah doktor tidak begitu gemar melakukan rawatan akar kerana keperluan mengambil x-ray. Walau bagaimanapun, x-ray hanya tidak selamat pada bulan pertama hingga ketiga kehamilan sahaja. Selepas tempoh itu, ia masih selamat asalkan ada perlindungan. Begitu juga dengan rawatan pemutihan. Ini kerana ia melibatkan bahan kimia. Apa-apa sahaja rawatan yang perlu menggunakan ubatan tidak begitu digalakkan.
Antara lain, apa-apa sahaja jenis suntikan sangat tidak digalakkan ketika ibu mendapatkan rawatan terutamanya ketika usia kandungan antara lapan atau sembilan bulan. Ini kerana suntikan memungkinkan ibu mengalami kontraksi awal.

No comments: