Thursday, December 8, 2011

Elak Gigitan Bayi Ketika Menyusu


Bayi terutamanya yang baru mendapat gigi pertama cenderung untuk menggigit puting payu dara sama ada secara sengaja mahupun tidak. Lebih-lebih lagi ketika dia mengalami masalah gatal gusi. Bayi pastinya akan menggigit dan menjadikan puting anda seumpama teether.

Kesannya boleh mengakibatkan puting kesakitan dan lama-kelamaan menimbulkan masalah untuk anda meneruskan penyusuan eksklusif.

1. Alihkan Bayi
Antara langkah yang boleh anda lakukan bagi mengelakkan gigitan bayi ialah dengan mengalihkannya daripada payu dara secara perlahan-lahan. Sambil itu, anda digalakkan untuk menyatakan perasaan anda akibat perbuatannya. Berkatalah seperti, “Sayang, jangan gigit mama” atau “Mama sakit” Biarpun ketika itu anda mungkin mempunyai sekelumit rasa marah kerana sakit, namun sebaik-baiknya luahkanlah perasaan anda secara berhemah dan lemah lembut.

Untuk seketika, biarkan bayi berbaring sendirian sebelum anda menyambung semula sesi penyusuan. Dengan cara ini, ia dapat mendidik bayi bahawa jika dia menggigit, dia tidak akan dapat menyusu.

2. Tekapkan Muka
Ketika bayi mula mengetap bibir untuk menggigit, dekatkan mukanya ke arah dalam payu dara. Ini secara tidak langsung akan menyebabkannya sesak nafas lalu mendorong dia untuk menghentikan gigitan supaya dapat bernafas semula.

Sekiranya anda kerap melakukan panduan ini, lama-kelamaan bayi akan mula faham bahawa jika dia menggigit, dia akan mengalami masalah kesukaran bernafas. Dengan yang demikian, diharap bayi akan mengelakkan diri daripada terus menggigit di sesi penyusuan seterusnya.

3. Ketahui Punca
Sepatutnya di awal sesi penyusuan, anda sendiri perlu mengelakkan diri daripada digigit! Hal ini dapat anda lakukan dengan mengenal pasti punca yang mungkin menjadi penyebab mengapa anda sering digigit.

Berkemungkinan, ia berlaku kesan daripada perasaan kecewa bayi kerana tidak berjaya memperoleh susu seperti yang diingininya. Jika itulah yang menjadi penyebab, anda harus merangsang aliran susu sebelum menyusukan bayi. Antaranya, anda boleh menekapkan payu dara menggunakan tuala kecil yang telah direndam dengan air suam terlebih dahulu selama beberapa minit bagi melancarkan pengaliran susu.

4. Amati Corak Penyusuan
Di akhir sesi penyusuan pun, anda dapat mengelakkan gigitan bayi. Ini dilakukan dengan mengetahui sama ada dia suka menggigit apabila mula mengantuk akibat kenyang mahupun ketika puting hampir terlepas daripada mulutnya. Untuk itu, anda harus peka dan bersedia untuk menghentikan penyusuan setiap kali bayi menunjukkan tanda-tanda akan menggigit.

5. Posisi Selesa
Anda seharusnya sentiasa memastikan bayi dan anda sendiri berada dalam posisi yang cukup selesa ketika sesi penyusuan berlangsung. Sekiranya bayi mahupun anda kelihatan tidak selesa dengan posisi penyusuan tertentu, segeralah membetulkan posisi berkenaan agar lebih selesa.

6. Leraikan Dengan Jari
Apabila anda dapat rasakan bayi akan menggigit, segera masukkan jari kelingking di bahagian tepi mulutnya bagi meleraikan dia daripada payu dara. Namun, jangan sesekali meleraikan sesi penyusuan secara tiba-tiba tanpa memasukkan jari anda terlebih dahulu. Hal sebegini boleh mencederakan puting dan tentunya ia lebih menyakitkan.

7. Gigit Alat Lain
Berikan bayi alat-alat lain untuk digigitnya seperti teether atau tuala kecil yang dibekukan di dalam peti sejuk beku. Alat bantuan seperti ini amat bagus kerana membantu memenuhi keinginan bayi untuk menggigit sesuatu agar dapat menghilangkan rasa gatal gusi.

Oleh yang demikian, jadikan alat-alat sebegini sebagai alternatif untuk mengelakkan diri sendiri digigit!

8. Elak Jeritan
Cuba hindari diri daripada menjerit kepada bayi ketika dia menggigit. Malah, jangan sesekali memukul atau menampar pipinya. Keadaan ini akan membuatkan bayi terkejut dan takut untuk meneruskan penyusuan. Lebih akan menjadi teruk lagi, ia mungkin penyebab untuk bayi enggan lagi menyusu.


Info dari Pa & Ma

No comments: