info dari Pa & Ma 
Air Penting Demi Kesihatan
Kepentingan  air, sama seperti oksigen. Ia merupakan elemen penting demi  kelangsungan hidup seseorang manusia. INTAN JASTINA JAMALUDDIN  menyelongkar kebaikan air dengan bantuan Sabrina Haron.
Ramai  di kalangan kita yang hanya minum air setelah dahaga. Sedangkan, kita  sering mendengar saranan pakar perubatan dan pakar pemakanan untuk minum  air sekurang-kurangnya 8 gelas atau 2 liter sehari. Jika termasuk di  dalam golongan yang “malas” minum air, anda seharusnya berubah sikap dan  mula memberikan perhatian terhadap kebaikan minum air.
Air  membentuk kira-kira 55 - 57 % daripada berat badan dan memainkan  peranan penting dalam hampir setiap fungsi utama tubuh. Oleh yang  demikian, pengambilan air dalam jumlah mencukupi amat penting untuk  tubuh anda menjalankan fungsinya dengan sempurna. Ia mustahak untuk  melarutkan sisa metabolisme seperti asid urik dan urea yang diangkut  oleh darah ke buah pinggang. Oleh kerana itulah, air mencukupi  diperlukan untuk mengeluarkan bahan buangan ini daripada tubuh.  Kekurangannya akan “memaksa” buah pinggang bekerja lebih keras untuk  menapis bahan toksik dan lama-kelamaan boleh menyebabkannya rosak.
Antara  lain, air turut menjadi bahan utama untuk aktiviti enzim dan kawalan  suhu badan serta membolehkan darah menghantar oksigen dan nutrien kepada  sel di seluruh badan. Kekurangan air boleh menjejaskan semua proses ini  dan khasiat makanan mungkin tidak dapat diagihkan dengan baik ke  seluruh sistem tubuh.
Ketahuilah, tubuh anda  terdiri daripada 70% air. Sekiranya air yang terkandung di dalam tubuh  anda bersih, sel tubuh tentu sahaja menjadi lebih segar dan kuat. Kesan  daripada air yang bersih boleh merangsang sistem pertahanan badan,  metabolisme sel dan mengurangkan risiko sel menjadi tidak normal,  mencegah bahan toksik daripada merebak ke sel lain dan merendahkan  risiko menghidap jangkitan tertentu.
Dalam pada  itu, anda perlu tahu bahawa input air perlu sekurang-kurangnya sama  dengan output air. Kekurangan air adalah punca utama keletihan pada  waktu siang yang boleh menyebabkan pernafasan menjadi pendek, sakit  perut, kebas dan risau tanpa sebab munasabah.
Kekurangan  air juga menyebabkan bahan buangan yang perlu dikeluarkan daripada  badan terkumpul dan lama-kelamaan boleh mengakibatkan masalah kesihatan.  Contohnya pembentukan batu karang. Kehilangan hanya 2% air boleh  menyebabkan otak kurang cerdas, ingatan jangka pendek menjadi kabur,  sukar mengira dan menumpukan perhatian ketika membaca.
Malah  rasa mengantuk selepas makan tengah hari pun merupakan petunjuk tubuh  kekurangan air. Seperti yang anda sedia maklum, air diperlukan untuk  proses pencernaan dan metabolisme makanan. Bagi menyempurnakan proses  ini, tubuh menggunakan air daripada sel badan. Apabila ia digunakan  untuk proses pencernaan, bekalan oksigen ke otak berkurangan. Inilah  puncanya anda mengantuk, letih dan sukar menumpukan perhatian sewaktu  kerja selepas makan.
Ramai yang tidak sedar diri  sebenarnya mengalami kekurangan air yang kronik. Sekiranya anda hanya ke  tandas 1 atau 2 kali sehari, kerap dahaga, kulit menjadi kering dan  mengalami masalah takungan air, itu petanda anda kekurangan air! Tahukah  anda, tanda-tanda seperti perut terasa kembung atau kaki kelihatan  bengkak merupakan petunjuk tubuh kekurangan air. Bukannya kerana terlalu  banyak air.
Kurangkan Berat Badan
Ramai  yang keliru antara isyarat lapar dan dahaga. Kekeliruan ini menyebabkan  segelintir daripada anda mencari makanan setiap kali satu daripada  isyarat ini diterima otak. Akibatnya berat badan bertambah tanpa  disedari. Sekiranya anda mahu mengurangkan berat badan, amalan meminum  air kosong dalam jumlah yang banyak adalah jalan terbaik. Ini kerana air  menjadi elemen penting untuk meningkatkan metabolisme badan dan  mempercepatkan proses pembuangan lemak.
Jika anda  mengalami kekeliruan ini, langkah terbaik ialah minum air setiap kali  berasa lapar. Memandangkan air tidak mengandungi kalori, jadi tidak  timbul isu pengumpulan tenaga berlebihan yang akhirnya disimpan sebagai  lemak. Untuk mendapatkan kesan yang lebih cepat, pakar pemakanan sering  menyarankan individu agar minum setiap kali sebelum makan. Air akan  membuatkan anda cepat kenyang. Tanpa disedari, ia dapat mengelakkan diri  anda daripada makan dalam jumlah yang banyak. Perlu diingatkan bahawa  air yang diambil perlulah air kosong dan bukannya minuman manis yang  hanya mengandungi kalori kosong!
Malas Ke Tandas?
Biarpun  tahu manfaat air pada kesihatan, tidak ramai yang punya “kekuatan”  untuk berulang-alik ke tandas. Oleh kerana itulah golongan ini minum  hanya sedikit air dan pada masa yang sama turut mengelak makanan yang  mengandungi air yang banyak. Faktanya, kerap berulang ke tandas perlu  dianggap sebagai perkara yang positif. Secara purata, pundi kencing  dikosongkan di setiap 4 jam. Jadi, membuang air kecil antara 6 hingga 7  kali sehari adalah sesuatu yang normal.
Usah risau  jika perlu kerap ke tandas kerana ia adalah antara cara meningkatkan  kepekaan fikiran khususnya bagi anda yang lebih banyak duduk ketika  bekerja. Terdapat kajian yang menasihatkan individu untuk berehat  seketika setiap 1 atau 1 ½ jam ketika bekerja. Oleh itu, anggaplah  aktiviti ke tandas sebagai rehat yang bukan sahaja membantu anda  membersihkan dalaman tubuh, malah merangsang tumpuan fikiran.